BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, March 12, 2010

Petua-Petua sebelum Memancing

BIASANYA ada perundingan kecil sebelum menetapkan tarikh turun memancing sama ada di kolam, tasik, sungai atau laut. Cara begini sangat baik, tapi ada kalanya cara begini juga gagal dapat kata sepakat. Perkara ini timbul apabila ada pihak dalam kumpulan sering rasa tidak puas hati dengan satu pihak lain.

Kaitan yang sering dilakukan ialah dengan mengatakan pihak berkenaan menggunakan ilmu hitam, membawa tangkal dan pelbagai tuduhan sebelum turun memancing.

Pernah berlaku satu kumpulan yang menamakan dirinya (Memerang)tidak dapat turun memancing dalam tempuh berbulan lamanya disebabkan bertelagah sesama sendiri.

Apa pun petua terbaik harus diambil kira dengan mengenepikan cara berfikir yang sudah tidak relevan di zaman pembangunan ini, tapi bukan semua cara lama harus dibuang.

Penulis baru-baru ini bertemu dengan seorang nelayan veteran di Pantai Remis, Perak yang masih mengekalkan cara berkumpulan untuk turun memancing, sama ada di sungai atau laut dalam, sekali gus mengamalkan istilah lama (Jalan seorang kita mati - jalan berdua kita berkawan) lantas menolak ilmu hitam yang dipakai rakan pancing menyebabkan rezeki hilang dalam tangan, atau ikan lari ketakutan.

Tafsiran ini salah dan bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Allah yang menentukan segala apa yang terjadi bukan menggunakan ilmu hitam atau tangkal.

Untuk itu dalam segala hal yang ada hubung kait dengan memancing sama ada di sungai, tasik atau laut cara berkumpulan adalah yang terbaik dan tidak timbul untuk memikirkan pihak tertentu ada memakai ilmu hitam atau menggunakan hantu.

Petua baca selawat dan bismillah sebelum melangkah meninggalkan rumah dan baca selawat berkumpulan sebelum masuk dalam bot, Insya-Allah kita akan beroleh selamat.



KETIKA rasa ghairah membuat persediaan turun memancing, ramai kaki pancing lupa kepada beberapa petua yang perlu diamalkan seperti menyediakan ubat-ubatan menahan bisa, sakit perut, pening kepala atau sakit gigi serta disengat binatang bisa.

Keperluan ini sangat penting untuk dibawa bersama sama ada secara kumpulan atau individu walaupun keperluan berkenaan ada disediakan dalam bot atau kotak ubat, namun langkah berjaga-jaga perlu dilakukan kerana ada kemungkinan tekong atau ketua kumpulan terlepas pandang mengenai ubat yang perlu dibawa dalam setiap kotak atau beg pemancing.

Pernah berlaku pada satu trip memancing laut dalam apabila seorang pemancing terkena sengat ikan pari.
Sebagai langkah bantuan untuk menahan bisa, tekong bergegas membuka kotak ubat yang tersedia tetapi semua ubat yang diperlukan sudah kehabisan.

Keadaan menjadi kelam kabut dan mencemaskan. Bagaimanapun seorang daripada pemancing lain dalam kumpulan berkenaan bertindak memicit bahagian yang terkena sengat untuk mengeluarkan bisa dan kemudian menumbuk halia bersama bawang putih lalu dilumurkan pada tempat luka yang terkena sengat itu.

Langkah ini dapat mengurangkan rasa sakit kerana panas halia bercampur bawang putih dapat melawan sakit. Bagaimanapun ia perlu dirawat terlebih dulu.

Daripada peristiwa yang berlaku langkah terbaik suiaya kita semua tidak mudah panik, tetapi perlu memberikan kerjasama dan cepat memberi bantuan.

Kepada tekong berpengalaman, mereka tetap mempunyai beberapa jenis rempah ratus selain untuk masak sekurang-kurangnya sebagai pilihan kedua apabila ubat yang diperlukan tertinggal atau kehabisan.

Peranan halia dan bawang putih amat penting kerana kepercayaan masyarakat Cina dua rempah berkenaan dapat membuang angin dalam badan dan dapat menyedut biasa jika terkena sengat binatang atau ikan berbisa.



Tembakau


Tembakau untuk perubatan alternatif

RAMAI pemancing masih tidak mengetahui tembakau yang diadun secara tradisi untuk dihisap bersama rokok daun nipah terutama tekong bot mempunyai khasiat yang berguna terutama untuk perubatan alternatif sebelum mendapat ubat yang betul atau dihantar ke hospital.

Pernah berlaku kepada pemancing di Pantai Timur yang kehabisan ubat setelah mereka terluka kena mata kail menyebabkan banyak darah keluar. Tekong yang secara kebetulan menghisap rokok tembakau tradisional mengambil sedikit tembakau yang diadun secara tradisi dan dibasahkan dengan air.

Selepas itu tembakau berkenaan ditampal pada mata luka dan dibalut dengan kain bersih. Dalam masa kurang daripada setengah jam darah yang mengalir dari mata luka berhenti serta merta dan sejam lepas itu pemancing dapat meneruskan aktiviti seperti biasa.

Kepada tekong atau nelayan tradisi mereka memang selalu membawa tembakau, jika tidak menghisap pun mereka akan simpan untuk dijadikan ubat. Getah tembakau yang kelat boleh dijadikan ubat untuk menahan darah atau untuk sengatan binatang biasa kecil seperti lipan atau kala jengking.

Disebabkan hari ini teknologi perubatan sudah semakin maju cara tradisional hampir dilupakan. bagaimanapun kepada nelayan tempatan mereka masih mengekalkan perubatan alternatif dengan membawa daun sireh, tembakau, cuka, bawang putih sebagai pengganti ubat jika terkena musibah.

Untuk itu kepada pemancing yang sering ke laut walaupun mempunyai ubat yang mencukupi perubatan tradisi perlu disediakan kerana ia boleh dijadikan satu cara perubatan sementara untuk mendapat khidmat perubatan moden.


Air tawar halang terik matahari

SEMASA menghadapi cuaca panas yang terus berbahang semasa memancing di laut kita bakal berdepan dengan suasana tidak selesa terutama bumbung pelindung bot tidak cukup besar untuk menampung keseluruhan bot.

Justeru langkah terbaik pemancing perlu mengunakan topi lebar (seperti pekebun sayur wanita cina). Selain itu baju tebal berwarna putih yang dapat menyerap peluh juga sebaik-baik pakaian yang perlu digunakan.

Baju yang berupaya menyerap peluh ini dapat menyegarkan kita kerana sentiasa lembab berbanding dengan mereka yang tidak berbaju kerana pendedahan terbuka kepada matahari menyebabkan kulit badan menjadi kering dan mudah menggelupas.

Dalam apa juga keadaan suhu badan harus diletakkan dalam keadaan sederhana dengan mengambil kira keadaan sekitar yang mesti ada ruang untuk mendapatkan angin laut yang terbuka. Tuala perlu dibasahkan dengan air tawar, bukan dengan air laut yang masin. Tuala basah di bungkus di kepala supaya bahagian kepala dapat bertahan daripada panas mata hari dan segarnya dapat bertahan lebih lama.

Langkah terbaik dan sangat berkesan pemancing perlu banyak minum air sejuk (air mineral) bukan yang disejukkan dalam peti sejuk nelayan atau mengambil ketul ais untuk di minum sama. Ketul ais yang dibekalkan untuk menyegarkan ikan bahaya untuk diminum.

Pemancing juga tidak digalakan terus mandi dalam keadaan badan yang masih berbahang panas. Anda perlu mengambil masa untuk beberapa minit berihat sebelum mandi.

Air tawar yang dibawa dari darat adalah terbaik untuk menghalang bahang panas matahari.


CUACA banyak memainkan peranan penting dalam sebarang aktiviti sukan dan riadah. Begitu juga dengan aktiviti memancing, cuaca tetap menjadi sebahagian daripada fenomena yang penting terutama ketika berada di tengah laut dan jauh dari pulau dan tanah besar.
Pernah berlaku beberapa peristiwa semasa satu kumpulan pemancing muda melakukan ekspedisi memancing di laut berhampiran perairan Pulau Bidong Terengganu, beberapa tahun lalu.

Menurut cerita Pak Wan Dollah, tekong veteran yang kini sudah berusia 88 tahun dan tidak lagi turun ke laut tapi masih dapat mengingati kumpulan yang tidak mengindahkan larangan atau petua ketika memancing ketika berlaku kilat sabung menyabung.

Jika berlaku sebarang suasana sedemikian pemancing tidak digalakkan mendedahkan diri di tempat lapang yang terbuka atau tidak memegang joran atau memegang batang besi kerana ia mudah disambar petir.

Menurut Pak Wan Dollah, ketika membawa rombongan pemancing beliau menasihatkan kaki pancing supaya patuh kepada petua seperti yang dinyatakan di atas tapi petua itu langsung tidak diendahkan sebilangan pemancing yang terdiri daripada lapan orang anak muda.

Dalam suasana cuaca yang berubah dengan tiba-tiba angin kencang bertiup berserta guruh dan kilat, gelombang besar mula mengubah ganas di laut yang tadinya tenang.

Pak Wan Dollah mengarahkan kaki pancing supaya beredar masuk ke kabin dan tidak mendedahkan diri bagaikan mencabar kilat yang mula memanah beberapa kaki pancing yang degil itu.

Suasana menjadi kelam kabut kerana tiga pemancing pengsan apabila joran pancing mereka disambar kilat. Pak Wan Dolah terpaksa melakukan rawatan daripada pengalamannya yang luas dalam menghadapi situa si begitu.

Rakan pancing lain menginsafi kedegilan setelah melihat rakan mereka yang dan tidak langsung mahu mendengar nasihat tekong atau mengamalkan petua yang baik itu.

Justeru nasihat Pak Nuri perlu elakkan diri daripada mencabar kilat dengan mendedahkan diri kepada keadaan sedemikian. Berhentikan sebarang aktiviti memancing semasa guruh dan kilat sabung menyabung.

Berlindung di tempat yang selamat serta berzikir untuk kebaikkan semua.

InsyaAllah Tuhan akan mengingati kepada orang yang ingat kepadanya.



Udang galah dikelaskan sebagai haiwan omnivor iaitu spesies yang boleh dikatakan makan serba-serbi yang dijumpainya. Untuk memudahkan mengesan udang lebih cepat kita perlu menggunakan umpan ‘berbau’. Di kawasan air jernih udang amat berhati-hati dan kurang galak kecuali kita memancing waktu malam atau lubuk yang didominasi udang galah.

Umpan udang yang lumrah dan cepat diterpa udang ialah perumpun - jenis sarang, bakau, pantai dan nipah. Cacing tanah sama ada cacing gila atau jenis biasa. Anak udang sungai atau udang beras hidup/mati, remis, isi kerang, ala-ala - guna bahagian yang keras. Isi ikan dihiris halus memanjang mengikut saiz mata kail. Isi udang galah - potong mengikut saiz mata kail. Udang pasar tidak kira apa jenis, anak ikan longkang hidup atau mati kedua-duanya boleh. Pilihan lain - jantung/hati ayam tapi hanya sesuai untuk pancing di kolam.

Saiz umpan yang dipasang pada mata kail jangan terlalu besar kerana ini akan melambatkan proses udang menelan mata. Potong atau hiris umpan biar sepadan dengan saiz mata kail yang digunakan. Saiz mata kail udang dan jenis bergantung kepada jenis batang pancing.

Memancing udang galah tiada musim tertentu sama ada di kawasan hulu sungai dan pedalaman termasuk lombong, tasik dan kolam. Bagaimanapun musim kering (tiada hujan sebelumnya) adalah masa terbaik memancing udang galah. Selain daripada itu waktu malam lebih mudah mengendap udang galah berbanding siang kerana kawasan persekitaran air jernih dan udang galah jarang keluar merayau siang hari bagi mengelak diterkam pemangsa. Perlu diingatkan jika lokasi yang dikunjungi jauh dari kawasan pembangunan seperti hulu sungai pedalaman umpamanya, langkah keselamatan perlu diambil perhatian memandangkan malam hari terlalu banyak bahaya. Jika wujud keadaan kurang selamat dinasihatkan lebih baik tidak usah memancing di kawasan terbabit.

Bagi muara sungai musim udang galah hadir selepas beberapa hari sebaik saja hujan berhenti. Kebiasaannya air hujan akan keluar ke laut melalui sungai turut membawa bersama udang galah. Ketika ini udang galah akan berkeliaran di kawasan muara yang ketika itu airnya tawar. Udang galah akan mudik semula ke hulu sungai apabila muara sungai kembali payau atau masin. Secara ringkasnya musim udang adalah sepanjang tahun kecuali di muara hanya selepas musim hujan atau ketika muara sungai tawar airnya.

3. Perambut udang galah kebiasaannya ialah menggunakan tangsi 6 paun hingga 12 paun. Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12 paun boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5 kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50 gram hingga 500 gram. Panjang perambut seeloknya 15 sentimeter atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu 'terasa' beban ketika mengunyah umpan. Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 6 hingga no 8 kerana saiz ini paling sesuai. Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan.

Ukur joran - tangkapan lumayan


PERNAH anda mendengar pemancing dulu yang menggunakan joran buluh terlebih dulu menyukat ukuran panjangnya dengan menjengkal joran berkenaan dengan menggunakan ibu jari dan telunjuk tangan kanan?

Ukuran terbaik diguna pakai ialah pada ukuran bilangan jengkalan pada angka ganjil. Ini satu kepercayaan pada ketika itu. Malah ukuran itu juga turut dilakukan oleh sesetengah pemancing veteran yang beranggapan bahawa ukur ganjil itu boleh mendatangkan hasil tangkapan yang lumayan.

Adakah anda percaya dengan kepercayaan ini?

Jika itu dijadikan satu amalan yang membolehkan seseorang mendapat rezeki yang lumayan, mengapa hari ini rata-rata pemancing tidak menjengkal batang pancing sebelum membelinya?

Justeru, tentunya kepercayaan ini sudah tidak dapat dipakai atau diterima lagi pada zaman sekarang yang serba-serbi moden ini. Tetapi apapun yang diamalkan dulu tetap masih boleh diterima pakai sebagai petua. Contohnya, mendahulukan kaki kanan ketika melangkah keluar dari rumah, membaca Bismillah dan selawat, tidak melangkah batang pancing, mesra dengan anak-anak dan isteri sebelum pergi memancing serta tidak digalakkan membawa kaki pancing yang panas baran mahupun mulut celupar.

Perkara-perkara seperti ini harus difikirkan dengan teliti supaya tidak berlaku kekesalan jika berlaku sesuatu yang buruk yang membabitkan keseluruhan pemancing.

Tetapi hari ini, amalan itu sudah tidak diguna pakai lagi tambahan pula joran yang dibeli sudah lengkap dengan cincin di bahagian hujung. Ini sudah pasti sukar untuk dipotong untuk mendapatkan ukuran ganjil.

Apa pun, terpulang kepada anda sama ada hendak menggunakan joran buluh yang ukurannya dijengkal atau menggunakan joran sedia ada daripada pelbagai jenama terbaik lagi canggih.

































0 comments: